Sabtu, 19 Julai 2008

SEHARI SEBELUM KUMPULAN PERTAMA MALCON 2 UNIFIL MULA MENINGGALKAN BUMI LUBNAN

Hari ini Sabtu, 19 Julai 2008. Esok merupakan hari terakhir bagi pegawai-pegawai dan anggota-anggota MALCON 2 UNIFIL kumpulan pertama bertugas di bumi Lubnan ini. Setelah genap 9 bulan MALCON 2 bertugas disini kini tiba masanya untuk mereka meninggalkan Kem MALCON di Kaokaba yang terletak di daerah Hasbaiya, Selatan Lubnan. Sepanjang hari tadi mereka sibuk memunggah peti-peti dan tong-tong untuk dimasukkan ke dalam kontena sebelum dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri di Beirut. Pegawai-pegawai dan anggota-anggota cuma dibenarkan membawa 3 buah beg peribadi sahaja untuk dibawa balik ke tanahair. Beg-beg tersebut mestilah mempunyai berat tidak lebih daripada 50 kg bagi setiap anggota.
Penerbangan balik ke Malaysia bagi 160 pegawai dan anggota MALCON 2 bagi kumpulan pertama ini dijadualkan pada 21 Julai 2008 jam 3 pagi dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri. Pengganti kepada MALCON 2 iaitu MALCON 3 dijangka sampai di bumi Lubnan pada 20 Julai 2008 lebih kurang jam 7 ptg waktu tempatan. Proses serah menyerah antara MALCON 2 dan MALCON 3 telah dirancangkan selama lebih kurang seminggu sebelum perbarisan serah menyerah Komander MALCON dilakukan pada 27 Julai 2008 di Kem MALCON, Kaokaba ini. Kumpulan Induk MALCON 2 pula akan mula meninggalkan Kaokaba pada 30 Jul 2008 dengan kekuatan seramai 197 pegawai dan anggota.

Posted by: Mej Mohd Fadzil bin Hj Ngadiman, Ketua Elemen APC MALCON 2 UNIFIL.

Tiada ulasan: