Ahad, 22 Februari 2009

Misi PBB - Tentera Darat Malaysia

UNITED NATIONS OPERATION IN CONGO(1960 - 1963)

Misi pengaman di Congo(Zaire) ini merupakan penglibatan TDM yang pertama di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. United Nations Operations In Congo atau lebih dikenali sebagai UNOC melibatkan 3,000 anggota Tentera Darat Malaysia dari pelbagai peringkat anggota.

Angkatan Tentera Malaysia telah menghantar Pasukan Khas Malaya (MSF) yang terdiri daripada 4 kontinjen yang ditempatkan di Congo mulai Oktober 1960 hingga April 1963. Kontinjen TDM yang berkhidmat sebagai pasukan pengaman di Congo ialah Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Kedua Pasukan Peninjau (31 Oktober 1960 - Mac 1961). Seterusnya TDM menghantar 6 RAMD dan A Skuadron 1 Peninjau (Julai 1961 - April 1962), 7 RAMD (Februari 1962 - Disember 1962) dan 2 RAMD (Jun 1962 - April 1963). Markas MSF telah diperintah oleh Brig Jen Hamid Bidin selama 2 tahun sehingga Januari 1963.

Tugas MSF di Congo adalah untuk menentukan ketenteraman dan memelihara undang-undang bagi membantu kerajaan yang baru ditubuhkan.

Tugas-tugas lain adalah:
Memelihara keutuhan wilayah dan kebebasan politik Congo.
Mencegah berlakunya perang saudara.
Memastikan penarikan keluar dari Congo semua tentera asing, separa tentera dan anggota penasihat asing yang bukan di bawah pemerintahan PBB.
Memastikan penarikan keluar semua askar upahan.

UNITED NATIONS TRANSITION ASSISTANCE GROUP NAMIBIA(1989 - 1990)

Misi UNTAG adalah untuk menguruskan penghantaran pulang pelarian dan mengawasi pilihanraya bagi peralihan Namibia. Pergolakan politik di Namibia adalah di antara negara jiran Afrika Selatan dan beberapa organisasi tempatan misalnya 'The South West African People's Organization' (SWAPO). Misi ini melibatkan 3 kumpulan iaitu kumpulan batalion, staf Markas UNTAG dan pemerhati tentera.

Kumpulan batalion terdiri daripada 851 pegawai dan anggota LLP yang sebahagian besarnya daripada 17 RAMD, diperintah oleh Lt Kol Mislan Saiman dan kemudiannya oleh Lt Kol Ghaffir Abdul Hamid. Kumpulan batalion ini diperkukuhkan lagi dengan kehadiran satu kompeni daripada 21 RAMD. Batalion MALBATT kebanyakannya ditempatkan di utara Namibia di wilayah Ovamboland dan Kaokoland.

Kumpulan staf di Markas UNTAG pula terdiri daripada 15 pegawai yang ditempatkan di Winahoek. Kumpulan ini diketuai oleh Kol Hidayat Shariff Abdul Ghaffur yang juga merupakan Pegawai Memerintah MALCON (Kontinjen Malaysia).

Kumpulan pemerhati bagi misi ini terdiri daripada 25 pegawai yang diketuai oleh Kol Yunos Othman ditugaskan dalam kumpulan kecil di Oshakati, Ruacana, Ondangwa dan Oshivello. Kumpulan ini melaksanakan tugas-tugas memerhati dan menyiasat penarikan keluar Pasukan Pertahanan Afrika Selatan (South African Defence Force - SADF) serta pembubaran 'South West African Territorial Force' (SWATF).

UNITED NATIONS ANGGOLA VERIFICATION MISSION II(1991 - SEKARANG)

Misi yang dikenali sebagai UNAVEM di Angola ini pada mulanya melibatkan 20 pegawai dari pelbagai pangkat yang ditugaskan sebagai Pegawai Pemerhati mulai 17 Julai 1991. Pegawai ditempatkan di seluruh pelosok Angola termasuk Luanda(ibu negara), Saurimo, Luena, Huambo, Maringa dan Lubango.

UNAVEM II adalah untuk mengesahkan peraturan yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang bertelagah di Angola bagi mengawasi gencatan senjata serta mengesahkan pilihanraya mengikut perjanjian damai yang ditandatangani oleh Kerajaan Angola dan pihak musuhnya UNITA. Pergolakan di Angola adalah berpunca daripada pemberontakan pihak pasukan 'Unicio Nacional Para La Independencia Total de Angola' (UNITA) yang mana Tentera Cuba telah membantu Kerajaan Angola bagi memulihkan keadaan di negara tersebut. Dengan tekanan antarabangsa, tentera Cuba telah bersetuju berundur daripada Angola. Misi untuk menentukan pengunduran ini berjalan lancar dinamakan UNAVEM I.

Berlanjutan daripada misi tersebut, misi UNAVEM II pula dibentuk untuk mengesahkan perjanjian damai yang dicapai. Mandat UNAVEM II telah disambung dan ditukar kepada misi UNAVEM III pada bulan September 1995. Sejak Julai 1991 seramai 58 pegawai telah terlibat dalam misi UNAVEM. Daripada jumlah ini 20 pegawai sedang bertugas di misi tersebut. Tugas-tugas yang dilaksanakan oleh pemerhati tentera ialah seperti berikut:

Melaksana dan mengawasi gencatan senjata.
Mengenal pasti dan mendaftar pengundi-pengundi.
Mengawasi pembebasan tawanan perang.
Melaksanakan proses pungutan suara.
Mengendali proses perlucutan senjata oleh UNITA dan pengecilan tentera Kerajaan.

UNITED NATIONS MISSION FOR THE REFERENDUM IN WESTERN SAHARA(1991 - SEKARANG)

Misi MINURSO ditubuhkan bagi menentukan gencatan senjata dipatuhi serta pertempuran ditamatkan di Sahara Barat. Misi ini adalah daripada lanjutan persetujuan damai di antara Kerajaan Morocco dan organisasi pembebasan yang bergelar 'Popular para la Liberation de Saguiabel-Hamray de Oro' (POLISARIO) pada 30 Ogos 1988. Pada mulanya TDM menghantar 2 pegawai tentera mulai 20 Julai 1991 hingga 3 September 1993 secara bergilir-gilir. Mulai 9 Oktober 1993, bilangan pegawai telah ditambah kepada 4 orang. Tugas-tugas pengaman TDM termasuklah membuat rondaan verifikasi, pemeriksaan ke atas kenderaan, senjata, mengawasi pembebasan tawanan dan pengunduran tentera kedua-dua pihak (Kerajaan Morocco dan POLISARIO).

Di antara kejayaan yang direkodkan dalam misi ini ialah kejayaan Kol Mazlan Baharuddin yang telah dilantik sebagai Chief of Staff dan Deputy Force Commander MINURSO pada 18 April 1995 bagi mengetuai misi PBB UNASOG(United Nations Aouzou Strip Observer Group)yang berjaya membawa dua menteri dari negara Chad dan Libya untuk menandatangani deklarasi bersama pengunduran tentera dari kawasan Aouzou Strip.

Mandat MINURSO adalah seperti berikut:

Melaksana dan mengawasi gencatan senjata.
Mengenal pasti dan mendaftar pengundi-pengundi.
Mengawasi pembebasan tawanan perang.
Melaksanakan proses pungutan suara.
Mengawasi pengunduran tentera Morocco dan POLISARIO.
UNITED NATIONS OPERATION IN SOMALIA II(1993 - MAC 1995)

Sebelum misi UNOSOM II ditubuhkan, misi UNOSOM I dilancarkan bagi mengawasi gencatan senjata yang dipersetujui oleh puak-puak yang bermusuhan di Somalia. Permusuhan adalah di antara penyokong Presiden sementara Ali Mahdi Mohamed dan puak yang menyokong Pengerusi Kongres Somalia Bersatu, Jeneral Mohamed Farah Aideed. Disebabkan keadaan yang bertambah buruk di Somalia, UNOSOM II ditubuhkan dengan pertambahan kekuatan dan tanggungjawab.

--------------------------------------------------------------------------------

TDM hanya terlibat dalam misi UNOSOM II apabila menghantar sejumlah 870 orang anggota tentera dari Batalion ke 19 RAMD (Mekanise) yang mula bertugas pada 18 Jun 1993. Batalion yang dikenali sebagai MALBATT I ini diperintah oleh Kol Abdul Latif Ahmad mengandungi 3 kompeni (2 kompeni mekanis dan satu kompeni daripada 7 RAMD). Batalion ini telah ditempatkan di Kem Lapangan Terbang Mogadishu.

--------------------------------------------------------------------------------

Misi UNOSOM II ini pada peringkat awalnya dipelopori oleh Tentera Amerika Syarikat dengan misi mereka 'RESTORE HOPE' yang banyak mendapat tentangan daripada rakyat Somalia dan masyarakat antarabangsa. MALBATT telah diberikan tugas sebagai pasukan pengaman dan staf di Pejabat PBB. Kawasan-kawasan tanggungjawab MALBATT merangkumi Kompleks Universiti, Lapangan Terbang Mogadishu, Hunter Base, Pelabuhan Mogadishu, Jasira Road, Stadium Mogadishu dan sekitar Aroyo Beach. Semasa perkhidmatan MALBATT I, negara telah kehilangan seorang wira negara yang terkorban dan ramai yang tercedera di dalam Peristiwa Pasar Bakara di mana MALBATT I telah dihantar untuk menyelamatkan askar Renjer Amerika Syarikat. Dalam kejadian pada 3 dan 4 Oktober 1993 ini, Kpl Aznan Awang telah terkorban.

--------------------------------------------------------------------------------

Pasukan MALBATT II yang terdiri daripada 7 RRD telah mengambil alih tugas dan diberi penugasan yang lebih mencabar iaitu sebagai 'Quick Reaction Force' (QRF) atau pasukan atur gerak cepat kepada Force Comd dan untuk memberi perlindungan keselamatan kepada 'Special Representative' kepada Setiausaha Agung PBB semasa beliau di luar Mogadishu. Tugas lain yang dijalankan adalah melatih pasukan pertahanan awam, operasi ambil alih tugas dari Kontinjen Jerman, Sekatan Jalan raya, tugas rondaan dan pengiring. MALBATT II menamatkan misi pada 28 Julai 94 dan telah digantikan oleh MALBATT III yang dipimpin oleh Kol Rosli bin Md Yusof dengan kekuatan 957 anggota.

Kemuncak kejayaan negara adalah perlantikan Jen Datuk Aboo Samah Aboo Bakar sebagai Komander UNOSOM II yang mencatatkan sejarah sebagai pegawai tentera pertama dari Benua Asia Tenggara dilantik menerajui pasukan PBB di peringkat antarabangsa.

UNITED NATIONS OPERATION IN MOZAMBIQUE(1992 - 1995)

TDM melibatkan diri dalam misi ini pada 15 Februari 1992 dengan penghantaran 21 orang pegawai yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Yusof Dahaman. Pasukan ini bertugas sehingga 12 Februari 1994 . Misi yang dikenali sebagai UNOMOZ ini adalah tertumpu kepada tugas pemerhati untuk membantu dan memastikan pilihanraya bebas antara kedua pihak yang bertelagah di Mozambique.

Pada 15 Februari 1994, satu lagi pasukan yang terdiri daripada 24 pemerhati tentera, diketuai oleh Kol Ramli Mohamad telah ditugaskan di Mozambique dan menamatkan perkhidmatan mereka pada 17 Januari 1995.

UNITED NATIONS OBSERVER MISSION IN LIBERIA(1993 - SEKARANG)

Misi pemerhati ini melibatkan seramai 41 pegawai pemerhati yang ditugaskan sejak November 1993. Penglibatan TDM dalam misi ini adalah seramai 3 pegawai yang berpangkat Mejar. Mandat UNOMIL adalah seperti berikut:

Melaksana dan mengawasi gencatan senjata.
Mengenal pasti dan mendaftar pengundi-pengundi.
Mengawasi pembebasan tawanan perang.
Melaksana proses pungutan suara.
Mengawasi pembubaran kumpulan tentera yang bersengketa.


UNITED NATIONS IRAN-IRAQ MILITARY OBSERVER GROUP(1988 - 1991)

Misi UNIIMOG dimulakan sejak Ogos 1988 selepas Iran dan Iraq bersetuju untuk mengakhiri peperangan selama 8 tahun dengan gencatan senjata. TDM telah menghantar 3 kumpulan pemerhati tentera ke Iraq mulai Ogos 1988 hingga Februari 1991. Kumpulan pertama pemerhati diketuai oleh Lt Kol Mohd Zahidi Zainuddin yang membabitkan seramai 15 orang pegawai TDM. Kumpulan pertama ini berkhidmat mulai 15 Ogos 1988 hingga 27 Februari 1989.

--------------------------------------------------------------------------------

Kumpulan kedua pula adalah seramai 15 orang pegawai yang diketuai oleh Lt Kol Sulaiman Yusof. Kumpulan ini bertugas mulai 15 Februari 1989 hingga 15 April 1990. Kumpulan terakhir juga melibatkan 15 orang pegawai TDM dan diketuai oleh Lt Kol Abdul Razak Samad. Kumpulan terakhir ini bertugas mulai 11 Februari 1990 hingga 3 Mac 1991.

Setelah tamatnya misi UNIIMOG, PBB telah menubuhkan pejabat Setiausaha Agung PBB di Iraq yang dikenali sebagai 'United Nations Office of the Secretary General in Iraq' (UNOSGI) yang melibatkan 3 orang pemerhati daripada TDM. UNOSGI merupakan kumpulan pentadbir yang terdiri daripada kumpulan pemerhati dari Zambia, Hungary dan Malaysia


UNITED NATIONS TRANSITIONAL AUTHORITY IN CAMBODIA(1992 - 1994)

Misi penghantaran pasukan pengaman ke Kemboja bermula pada 15 Mac 1992. Tugas utama pasukan adalah untuk memulihkan keamanan negara Kemboja setelah musnah akibat perang saudara di antara 4 puak Kemboja yang bertelagah.

--------------------------------------------------------------------------------

Tiga tugas utama telah dijalankan serentak dalam misi ini yang dikenali sebagai:

Kumpulan Perhubungan Tentera PBB di Kemboja(United Nations Military Liaison Team in Cambodia)

(Misi Hadapan PBB di Kemboja(United Nations Advance Mission in Cambodia (UNAMIC)) - 16 Oktober 1991 hingga 15 March 1992. Misi ini bertanggungjawab terhadap perhubungan(liaison) di antara parti-parti dalam Majlis Tertinggi Negara(SNC) dan melaksanakan persediaan penempatan awal UNTAC. SNC adalah pakatan yang berfungsi mengambil alih kuasa pentadbiran sementara Kemboja sehingga penubuhan kerajaan baru melalui pilihanraya umum dijalankan. TD mempunyai 2 x Mej dalam misi ini.

Kuasa Peralihan PBB di Kemboja(United Nations Transitional Authority in Cambodia (UNTAC)) - 15 March 1992 hingga September 1993 - ditubuh untuk menjadi pentadbir semasa peralihan kuasa.

Misi-misi ini melibatkan tugas mengawasi gencatan senjata, memberi perlindungan kepada 500,000 pelarian, memerhatikan kestabilan keselamatan, membuat perhubungan dan laporan kepada Majlis Keselamatan PBB serta mengendalikan pilihanraya di kawasan tanggungjawab. TDM menghantar kontinjen yang terdiri daripada Batalion Malaysia(MALBATT), staf Markas UNTAC, pemerhati tentera dan detasmen Polis Tentera. Pasukan yang terlibat adalah seperti berikut:

MALBATT I yang berkhidmat mulai 16 Mac 1992 hingga 4 Julai 1993. Pasukan ini diketuai oleh Kol Mohamad Arshad Mohamad Raji. Batalion yang terlibat ialah 1 Rejimen Renjer Diraja di bawah pemerintahan Lt Kol Goh Ah Bah.

MALBATT II berkhidmat mulai 5 Julai 1993 hingga 4 November 1993 dan diketuai oleh Kol Zamri Ismail. Batalion yang dihantar ialah 11 RAMD yang diperintah oleh Lt Kol Anuar.

--------------------------------------------------------------------------------

Bagi tugas staf pula, seramai 7 pegawai tentera dan 3 anggota LLP ditugaskan di Markas UNTAC. Pasukan ini diketuai oleh Kol Mohd Aris Salim. Pemerhati tentera pula diketuai oleh Lt Kol Soo Ah Chai dan melibatkan seramai 29 pegawai. Detasmen polis tentera seramai 25 orang pegawai dan LLP diketuai oleh Kapt Adam Marsidi. Dalam tempoh misi ini dijalankan, TDM telah berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang semasa pilihanraya iaitu di Sektor Battambang di mana pasukan TDM berjaya mengendalikan 4.7 juta penduduk yang keluar mengundi.

UNITED NATION PROTECTION FORCE IN BOSNIA-HERZEGOVINA(1993 - 1995)

Misi UNPROFOR di negara Balkan ini tertumpu kepada tiga penugasan termasuk sebagai Pasukan Pengaman yang ditempatkan di wilayah-wilayah Konjic, Jablanika, Visoko, Pazaric, Split dan Zagreb, Staf di Markas PBB dan Pegawai Pemerhati

Tentera di Kiseljac, Dubrovnic, Bakavo, Okucani Gunja, Bihaj dan lain-lain. UNPROFOR ditubuhkan untuk memastikan tiga Kawasaan Perlindungan PBB(United Nations Protected Area - UNPA) menjadi kawasan bebas tentera serta menentukan semua penduduk di kawasan tersebut dilindungi daripada ancamaan serangan bersenjata.Trup pertama Malaysia mula berkhidmat pada Oktober 1993 dengan 996 anggota yang dikenali sebagai MALBATT 1 yang telah diletakkan di bawah pemerintahan Perancis dan ditempatkan di Konjic, Jablanica dan Pazaric.

--------------------------------------------------------------------------------

Fungsi UNPROFOR diperluaskan lagi setelah keadaan di negara Balkan tersebut bertambah teruk pada Jun 1992. Untuk tujuan tersebut, UNPROFOR ditugaskan memastikan keselamatan lapangan terbang di Sarajevo dan penghantaran bantuan kemanusiaan.

--------------------------------------------------------------------------------

Kontinjen TDM sepanjang misi adalah seperti berikut:

MALBATT I - Mulai 29 September 1993 hingga 22 Ogos 1994. Diperintah oleh Kol Mohd Hashim Hussein dan terdiri daripada 23 RAMD dan 3 Rejimen Armor.

MALBATT II - Mulai 22 Ogos 1994 hingga 27 Mac 1995. Diperintah oleh Kol Kamaruddin Mat Tan dan terdiri daripada 5 RAMD dan 2 Rejimen Armor.

MALBATT III - Mulai 28 Mac 1995. Diperintah oleh Kol Hussein Kamal Hazizi dan terdiri daripada 12 RAMD dan 1 Rejimen Armor.

--------------------------------------------------------------------------------

Semasa perkhidmatan MALBATT I, iaitu pada 19 April 1994, Mej Ramli Shaari telah terkorban ketika membuat rondaan untuk menentukan lokasi periuk api darat. Pada 12 Mei tahun yang sama, Mej Ariffin Zakaria pula terkorban ketika membuat rondaan di Camenica, di timur laut Sarajevo.

Kegagalan UNPROFOR mencapai keamanan di BiH menyebabkan PBB mengundur diri dalam bulan Disember 1995. Pengunduran ini digantikan dengan NATO di mana kekuatan MALBATT dipertingkatkan daripada 996 kepada 1533, dan dinamakan semula sebagai MALCON atau First Malaysian Contingent. MALCON I memulakan tugas pada 1 Mac 1996 dan bertugas di BiH sehingga 10 Jun 1996. Tugas MALCON adalah bagi melaksanakan aspek-aspek ketenteraan dalam kawasan tanggungjawab sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Keamanan Dayton

2 ulasan:

Aza berkata...

Salam,

Sy secara tak sengaja terjumpa blog tuan ini..menarik..sy harap tuan akan terus menulis..byk info yg org awam mcm sy dpt dr blog ini,untuk pengetahuan..

Oh ya, sy ada kwn dulu bertugas sama dgn tuan di Lebanon..mungkin tuan kenal, Mej Zulhelmi B. Masdar (Ketua Elemen Gerak Cepat MALCON II) kalau tak silap sy lah...tapi dah lama x dgr berita dari dia, sejak dia ke sana..sampai lah skrg..mudahan dia sihat2 saja..do send my regards to him if you know & meet him :)

Semoga Tuan & semua anggota tentera sentiasa dlm pemeliharaanNya..

Unknown berkata...

Teruskan usaha murni tuan...semoga ada kesedaran dikalangan anak2 muda sekarang. terima kasih.