Ahad, 9 November 2008

Mendiang Jun Terima 3 Pingat

KUCHING 22 Mei - Pengorbanan Mendiang Koperal Jun Sang, 30, sebagai anggota pengaman bagi misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon mendapat pengiktirafan kerajaan negara tersebut.

Mendiang yang terbunuh selepas kenderaan perisai yang dinaikinya terbalik di Sirfa, 20 kilometer di barat daya Kaokabah, Lebanon, dianugerahkan tiga pingat yang disampaikan kepada isterinya, Siman Enggoh, 32.

Tiga pingat anugerah tersebut adalah Injury Badge (bagi perajurit yang mengalami kecederaan/ kematian dalam melaksanakan operasi ketenteraan), War Badge (untuk perajurit yang terlibat melaksanakan tugas peperangan) dan Military Appeciation Of Bronze Degree (bagi perajurit yang telah bertugas dengan cemerlang).

Kesemua pingat itu disampaikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Masood Zainal Abidin di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pagi ini.

Terdahulu, pada 20 Mei lalu, wakil Panglima Angkatan Tentera Lebanon, Brigedier Jeneral Fadellah Sallah Sang telah menyerahkan pingat itu bagi pihak kerajaan Lebanon kepada Pegawai Pengiring (jenazah mendiang), Mejar Mohd. Fadzil Ngadiman di Beirut sebelum berlepas ke Malaysia.

Selain itu, mendiang turut menerima satu lagi pingat perkhidmatan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Jun adalah antara enam anggota yang terbabit dengan nahas kemalangan di Sirfa dengan empat rakan setugasnya mengalami cedera ringan manakala seorang lagi cedera parah dan kini dilaporkan stabil serta sudah mampu bercakap.

Dalam pada itu, mayat mendiang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada kira-kira pukul 6 petang semalam, sebelum dibawa pulang ke kampung halaman isterinya di Rumah Kelabit, Engkalan Spak di Betong menggunakan pesawat Nuri pada jam 8.10 pagi di Pangkalan TUDM.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir kepada mendiang adalah Panglima I Divisyen Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kassam dan Ketua Staff Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Datuk Jamil Osman.

Mendiang dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian, Gereja St. Agustine, Betong pada Ahad ini.Sementara itu, petang semalam, Panglima Medan Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin yang ditemui pemberita menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada pasukan ATM dan negara. Katanya, ATM akan berusaha memastikan isteri dan dua anak mendiang itu mendapat pembelaan sewajarnya termasuk imbuhan serta pencen suaminya bagi meneruskan kehidupan pada masa hadapan. "Kita (ATM) juga berusaha membantu menunaikan hasrat mendiang untuk membina rumah kepada keluarganya bagaimanapun, pihaknya terlebih dahulu akan mengenalpasti tapak yang sesuai untuk tujuan tersebut dan pembinaannya dilaksanakan secara gotong royong,'' ujarnya.

Tiada ulasan: