Ahad, 9 November 2008

Malcon II berlepas ke Lubnan

SUBANG: Seramai 80 termasuk 24 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dihantar menganggotai Kontinjen Malaysia (Malcon II) ke Lubnan untuk menyertai misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), malam semalam.

Empat wanita termasuk dua pegawai turut menyertai misi berkenaan depan pemilihan anggota dan pegawai pada penghantaran kali ini dilakukan secara sukarela iaitu permohonan daripada anggota serta pegawai ATM sendiri.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin berkata, penghantaran kumpulan bagi Malcon II adalah atas permintaan anggota sendiri yang berbangga untuk memberikan perkhidmatan mereka di negara berkenaan.

"Walaupun keadaan di Lubnan masih berlaku ancaman tetapi ia masih terkawal terutama hasil kerjasama daripada Malcon I.

"Kontinjen kedua ini akan meneruskan kesinambungan tugas yang diberikan kontinjen terdahulu dan diharapkan mereka dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya tanpa menimbulkan sebarang masalah," katanya ketika berucap pada taklimat penghantaran kumpulan pendahulu, Malcon II di Pangkalan Tentera Udara Malaysia, di sini, semalam.

Malcon II keseluruhannya dianggotai seramai 385 anggota termasuk 11 pegawai serta anggota wanita. Penghantaran kumpulan kedua akan dijalankan pada 29 Oktober ini.

Semua anggota sudah menjalani latihan penyesuaian selama tiga bulan bermula Julai lalu di Kuantan, Pahang dan akan menyertai misi itu selama sembilan bulan di Lubnan bagi menggantikan Malcon I.

Muhammad Ismail berkata, penghantaran kali mencatat sejarah kerana kali pertama ATM memberi peluang kepada pegawai dan anggota wanita menyertai misi seumpama itu.

"Kita memberi sepenuh kepercayaan kepada anggota dan mereka yang terpilih perlu menjalankan tugas dengan sebaik mungkin selain berusaha menjaga imej ATM serta negara.

"Betulkan niat dan jangan jadikan peluang anggota menyertai misi berkenaan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran," katanya selain turut memberi jaminan semua maklumat serta kebajikan anggota bertugas dan keluarga yang ditinggalkan di Malaysia di bawah pengawasan pengurusan ATM.

SUMBER: BERITA HARIAN ONLINE 23 OKTOBER 2007

Tiada ulasan: