Ahad, 9 November 2008

Mendiang Jun Terima 3 Pingat

KUCHING 22 Mei - Pengorbanan Mendiang Koperal Jun Sang, 30, sebagai anggota pengaman bagi misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon mendapat pengiktirafan kerajaan negara tersebut.

Mendiang yang terbunuh selepas kenderaan perisai yang dinaikinya terbalik di Sirfa, 20 kilometer di barat daya Kaokabah, Lebanon, dianugerahkan tiga pingat yang disampaikan kepada isterinya, Siman Enggoh, 32.

Tiga pingat anugerah tersebut adalah Injury Badge (bagi perajurit yang mengalami kecederaan/ kematian dalam melaksanakan operasi ketenteraan), War Badge (untuk perajurit yang terlibat melaksanakan tugas peperangan) dan Military Appeciation Of Bronze Degree (bagi perajurit yang telah bertugas dengan cemerlang).

Kesemua pingat itu disampaikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Masood Zainal Abidin di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pagi ini.

Terdahulu, pada 20 Mei lalu, wakil Panglima Angkatan Tentera Lebanon, Brigedier Jeneral Fadellah Sallah Sang telah menyerahkan pingat itu bagi pihak kerajaan Lebanon kepada Pegawai Pengiring (jenazah mendiang), Mejar Mohd. Fadzil Ngadiman di Beirut sebelum berlepas ke Malaysia.

Selain itu, mendiang turut menerima satu lagi pingat perkhidmatan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Jun adalah antara enam anggota yang terbabit dengan nahas kemalangan di Sirfa dengan empat rakan setugasnya mengalami cedera ringan manakala seorang lagi cedera parah dan kini dilaporkan stabil serta sudah mampu bercakap.

Dalam pada itu, mayat mendiang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada kira-kira pukul 6 petang semalam, sebelum dibawa pulang ke kampung halaman isterinya di Rumah Kelabit, Engkalan Spak di Betong menggunakan pesawat Nuri pada jam 8.10 pagi di Pangkalan TUDM.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir kepada mendiang adalah Panglima I Divisyen Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kassam dan Ketua Staff Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Datuk Jamil Osman.

Mendiang dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian, Gereja St. Agustine, Betong pada Ahad ini.Sementara itu, petang semalam, Panglima Medan Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin yang ditemui pemberita menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada pasukan ATM dan negara. Katanya, ATM akan berusaha memastikan isteri dan dua anak mendiang itu mendapat pembelaan sewajarnya termasuk imbuhan serta pencen suaminya bagi meneruskan kehidupan pada masa hadapan. "Kita (ATM) juga berusaha membantu menunaikan hasrat mendiang untuk membina rumah kepada keluarganya bagaimanapun, pihaknya terlebih dahulu akan mengenalpasti tapak yang sesuai untuk tujuan tersebut dan pembinaannya dilaksanakan secara gotong royong,'' ujarnya.

Penyampaian Cek Pampasan Insuran PBB


Panglima Angkatan Tentera, Y.Bhg Jen Tan Sri Abdul Aziz Bin Hj Zainal menyampaikan Cek Pampasan Insurans Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada isteri anggota MALCON II , mendiang Koperal Jun ak Sang yang terlibat dalam kemalangan jalanraya di Lubnan bertempat di Wisma Pertahanan pada 30 Julai 2008 (Rabu).

Hadir sama ialah Panglima Tentera Darat, Panglima Angkatan Bersama dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.

Malcon II berlepas ke Lubnan

SUBANG: Seramai 80 termasuk 24 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dihantar menganggotai Kontinjen Malaysia (Malcon II) ke Lubnan untuk menyertai misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), malam semalam.

Empat wanita termasuk dua pegawai turut menyertai misi berkenaan depan pemilihan anggota dan pegawai pada penghantaran kali ini dilakukan secara sukarela iaitu permohonan daripada anggota serta pegawai ATM sendiri.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin berkata, penghantaran kumpulan bagi Malcon II adalah atas permintaan anggota sendiri yang berbangga untuk memberikan perkhidmatan mereka di negara berkenaan.

"Walaupun keadaan di Lubnan masih berlaku ancaman tetapi ia masih terkawal terutama hasil kerjasama daripada Malcon I.

"Kontinjen kedua ini akan meneruskan kesinambungan tugas yang diberikan kontinjen terdahulu dan diharapkan mereka dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya tanpa menimbulkan sebarang masalah," katanya ketika berucap pada taklimat penghantaran kumpulan pendahulu, Malcon II di Pangkalan Tentera Udara Malaysia, di sini, semalam.

Malcon II keseluruhannya dianggotai seramai 385 anggota termasuk 11 pegawai serta anggota wanita. Penghantaran kumpulan kedua akan dijalankan pada 29 Oktober ini.

Semua anggota sudah menjalani latihan penyesuaian selama tiga bulan bermula Julai lalu di Kuantan, Pahang dan akan menyertai misi itu selama sembilan bulan di Lubnan bagi menggantikan Malcon I.

Muhammad Ismail berkata, penghantaran kali mencatat sejarah kerana kali pertama ATM memberi peluang kepada pegawai dan anggota wanita menyertai misi seumpama itu.

"Kita memberi sepenuh kepercayaan kepada anggota dan mereka yang terpilih perlu menjalankan tugas dengan sebaik mungkin selain berusaha menjaga imej ATM serta negara.

"Betulkan niat dan jangan jadikan peluang anggota menyertai misi berkenaan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran," katanya selain turut memberi jaminan semua maklumat serta kebajikan anggota bertugas dan keluarga yang ditinggalkan di Malaysia di bawah pengawasan pengurusan ATM.

SUMBER: BERITA HARIAN ONLINE 23 OKTOBER 2007

Jumaat, 7 November 2008

Sekilas Mengenai Lubnan

Lubnan merupakan sebuah negara di barat laut Asia, di sebelah timur Laut Mediterranean, dan bersempadan dengan Syria serta Israel. Sehinggalah ke Perang Saudara Lubnan (1975-1990), negara ini telah mengalami pemajuan dan pembangunan yang pesat, terutamanya dalam industri perlancongan, agrikultur dan sektor perbankan. Lubnan dipanggil pusat perbankan di dunia Arab dan juga dikenali sebagai "Switzerland Timur Tengah" kerana kemajuan kewangannya. Lubnan juga telah menarik banyak pelancong ke ibu negaranya, Beirut sehingga diberikan nama "Paris Timur Tengah".

Namun, peperangan antara kumpulan Hezbollah dan Israel pada tahun 2006 telah melumpuhkan infrastruktur dan seterusnya ekonomi Lubnan. Banyak nyawa telah terkorban dan bandar raya Beirut telah mengalami kemusnahan yang teruk. Usaha sedang dijalankan oleh kerajaan untuk membina semula infrastruktur bandar-bandar.

Sejarah

Kawasan Lubnan merupakan tapak manusia Zaman Neolitik yang wujud 7,000 yang lalu. Kawasan itu pernah dikuasai oleh kerajaan Phoenicia, Parsi, Yunani, Rom, Byzantine, Arab dan sebagainya. Akhirnya, kawasan itu dikuasai oleh kerajaan Turki Uthmaniyyah. Kerajaan ini mangalami kemerosotan selepas Perang dunia Pertama dan kawasan Lubnan diserahkan kepada kuasa Perancis. Akibat tekanan diplomatik dan penduduk Lubnan, Perancis bersetuju memberi kemerdekaan kepada Republik Lubnan pada 1943.

Lubnan terlibat dalam Perang Arab-Israel 1948 tetapi tidak mengambil bahagian dalam Perang Enam Hari 1967 dan Perang Yom Kippur 1973. Namun Perang Saudara Lubnan tercetus pada 1975 akibat rusuhan antara golongan Kristian, pengikut Sunah, Syiah, Druze dan juga pihak Palestin. Perang saudara ini ditamatkan pada 1990 melalui Perjanjian Taif. Kira-kira 150,000 orang penduduk telah terkorban dalam perang ini.

Politik

Antara syarat yang terkandung dalam Perjanjian Taif ialah pembahagian kuasa secara adil antara golongan-golongan yang terlibat. Oleh itu, Presiden Lubnan mesti merupakan seorang beragama Kristian Maronite, Perdana Menteri adalah sentiasa seorang pengikut Sunah, dan Speaker Parlimen adalah sentiasa seorang pengikut Syiah.

Pada 14 Februari 2005, bekas Perdana Menteri, Rafik Hariri telah dibunuh akibat ledakan bom kereta di Beirut. Pembunuhan ini disyaki diarahkan oleh pemimpin Syria. (Pihak Syria telah mencampur tangan dalam sistem politik Lubnan sejak Perang Suadara 1975-1990.) Pembunuhan ini telah mangakibatkan krisis politik yang membabitkan pihak pro-Syria dan pihak anti-Syria. Pihak pro-Syria termasuklah Presiden Emile Lahoud, Speaker Nabih Berri, Jeneral Michel Aoun dan kumpulan Hezbollah. Pihak anti-Syria termasuklah Perdana Menteri Fouad Siniora, Amine Gemayel, Samir Geagea dan anak Hariri, Saad Hariri.

Perang antara Hezbollah dan Israel pada Julai 2006 dan pembunuhan pemimpin Kristian Maronite Pierre Amine Gemayel pada November 2006 telah memburukkan lagi krisis tersebut. Gerakan pro-Syria telah mengadakan pelbagai protes dan demonstrasi sejak Disember 2006 meminta kerajaan Siniora meletak jawatan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kerjasama kerajaan telah meluluskan satu Mahkamah Khas Lubnan untuk menyiasat pembunuhan Rafik Hariri.

Khamis, 6 November 2008

Cabaran


Cabaran

“Cabaran membuat kita menangguh usaha, tapi tak pernah membuat kita merubah hala tuju matlamat dalam berusaha”. - Jack Canfield.

Kata-kata itu bukan kata-kata motivasi kosong, tetapi dibuktikan sendiri oleh Jack Canfield. Tahukah Anda, sebeleum menjadi terkenal, Jack pernah menulis sebuah buku pembangunan diri dengan tajuk “Success Principles”. Namun, buku tulisannya itu masih kurang mendapat sambutan.

Oleh kerana berdepan dengan pelbagai cabaran, dia menangguhkan usaha untuk menulis satu lagi buku selepas Success Principles. Tetapi, masih kurang pasti apakah tajuk yang sesuai untuk menjadikannya buku ‘best seller’. Matlamat untuk menerbitkan buku tersebut terpaksa ditangguhkan lagi.

Fikir punya fikir, ketika berbual-bual di satu petang bersama dengan kawan baiknya, timbul idea untuk mereka menjadi penulis bersama. Dari perbualan santai, terhasil tajuk “Chicken Soup For The Soul”.
Tajuk itu pernah diketawakan hanya kerana perkataan “Chicken Soup” yang bermaksud sup ayam. Lucu bunyinya.

Usaha yang dulu ditangguh sementara kini diteruskan semula. Apabila edisi pertama buku itu terbit, ia mencapai jumlah jualan melebihi sejuta naskah dan masih lagi diulang cetak berkali-kali sehingga ke hari ini untuk edaran ke seluruh dunia.

Apabila menerima cek pertama hasil royalti buku “chiken Soup For The Soul”, Jack dan kawan baiknya menerima bayaran royalti bertulis angka 1 dengan diikuti 6 digit kosong dibelakangnya. Angka itu adalah satu juta US Dollar.

Serapkan kata-kata motivasi kali ni dalam ingatkan Anda. Cabaran memang membuat kita menangguh usaha, tapi tak akan pernah merubah matlamat kita melainkan kita sendiri merubah matlamat tersebut.

Kegagalan



Kegagalan

Apa itu kegagalan? Ianya bukanlah satu unsur tunggal. Ia bukanlah terhasil dalam satu hari sahaja. Sebenarnya ia merupakan hasil kumulatif. Ianya hasil pengumpulan kesilapan kecil yang dilakukan kita berulangkali. Kesilapan kecil ini adalah disebabkan oleh pemikiran, tindakan , perbuatan kita dalam melakukan sesuatu perkara.

Erti kata dengan mudah, kegagalan dapat ditakrifkan sebagai hasil kesilapan kecil kita yang dilakukan berulang kali. Akhirnya sedikit yang kita sangkakan ini bertambah dan membesar. Itulah yang dipanggil kegagalan. Kegagalan berpunca daripada sikap ‘tidak mengapa’ kita.

Sekadar analogi. Kita tahu makanan ringan adalah tidak baik. Tetapi oleh kerana sikap ‘tidak mengapa’, kita pun tidak mengendahkannya. Lama kelamaan, kesilapan kecil ini pun membesar. Akhirnya, ia menjadi kegagalan. Kita mengalami penyakit kronik kesan tabiat pemakanan kita.

Persoalannya, mengapa kita meneruskannya? Sebabnya, perasaan seronok ketika waktu tersebut menutup mata kita untuk melihat kesannya pada masa akan datang. Begitu juga dengan kesan keputusan dimarahi teruk oleh guru. Kita tahu, jika kita tidak buat kerja sekolah yang diberikan, kita akan dimarahi. Tetapi keseronokan menonton televisyen membuat kita terlupa memikirkan kesan pada masa hadapan ini. Akhirnya kesilapan ini berkumpul. Maka terhasillah kegagalan.

Menarik Tentang Minda Kita



Menarik Tentang Minda Kita

1) Tenaga ajaib tersembunyi dalam minda

Percaya atau tidak apabila anda sentiasa memikirkan tentang kenyang, anda tidak akan lapar. Buktinya apabila anda menjalani ibadah puasa, anda tidak berfikir pun tentang makan sepanjang hari, tetapi anda tetap mampu melakukan aktiviti-aktiviti kehidupan sebagaimana biasa. Padahal pada hari-hari biasa, awal pagi lagi anda sudah terasa hendak makan.

Demikianlah apabila anda tidak lansung memikirkan tentang penat, anda akan cergas dan bertenaga sepanjang hari.

Sebaliknya apabila anda mula berkata "Aku malaslah hari ini", "Aku boringla hari ni", anda akan benar-benar malas dan boring. Maka jika anda ingin cemerlang dan berjaya, bijak-bijaklah berhubung dengan imaginasi. Imaginasi boleh menjadikan anda apa sahaja. Daripada sini kita boleh simpulkan, "Kita sendirilah yang meminta setiap apa yang berlaku pada diri kita."

2) Berkomunikasi dengan minda ke minda

Apabila anda mengingat seseorang, dan jika ingatan anda itu jujur, ikhlas dan bertanggungjawab, dan tiada sebarang gangguan, anda sebenarnya telah pun menghantar gelombang minda kepada orang itu. Anda mungkin mendapat tindak balas yang menakjubkan.

Jika ingatan anda terhadapnya adalah yang baik-baik, dalam masa yang sama insyaALLAH dia akan mengingat yang baik-baik juga tentang anda. Maka kerana itulah sesekali pada saat-saat tertentu anda terkenangkan seseorang yang telah lama anda tidak temui secara tiba-tiba. Barangkali pada saat itu orang berkenaan sedang memikirkan tentang anda dan gelombang mindanya telah mengembara dan akhirnya sampai kepada anda..

Gelombang yang lemah akan tersasar atau tidak sampai ke matlamat ataupun ghaib begitu sahaja ditelan gelombang-gelombang yang lebih kuat yang sentiasa bersimpang siur. Gelombang minda akan lebih hebat kesannya terhadap mereka yang mempunya jalinan emosi ataupun pertalian darah yang rapat misalnya suami isteri, ibu dan anak, adik beradik kembar dan rakan seiras.

3) Daya magnet dalam fikiran beremosi

Tahukah anda apabila anda membenci seseorang, anda sebenarnya telah pun menarik kebencian orang itu terhadap anda. Fikiran yang beremosi ada daya tarikan bagaikan magnet yang akan menarik sebarang pemikiran yang sealiran.

Sebagaimana gelombang minda tadi, kebencian akan terhasil dalam bentuk gelombang-gelombang negatif yang mengembara dan akhirnya sampai kepada orang yang anda benci itu. Oleh itu, seseorang yang menjadikan imaginasinya sebagai salah satu laluan untuk kejayaan tidak boleh berfikiran negatif.. Dia kena berfikiran positif supaya pemikiran yang sama akan dipulangkan kepadanya.

4) Mengawal minda untuk lebih berjaya

Tiada siapapun yang boleh membuatkan anda marah jka anda sendiri tidak ingin marah. Soal emosi yang tersentuh adalah perasaan yang boleh dikawal jika anda mahu mengawalnya. Jika anda memang tidak mahu marah anda tidak akan marah.

Orang boleh menjadi terlalu sedih kerana dia memberi laluan kepada dirinya untuk berasa sedih. Kesedihan yang melampau-lampau pula bermula daripada emosi yang ditarik-tarik, diiya-iyakan, diransang-ransang dan disungguh-sungguhkan, ibarat api yang dicurahkan petrol ke atasnya. Api akan menyambar hebat padahal jika dibiarkan sahaja, lambat laun ia akan padam sendiri. Kejayaan pertama orang yang berjaya ialah dapat mengawal emosinya.

5) Dua pemikiran dalam masa yang sama

Anda mungkin pernah melihat seseorang yang beremosi pada satu masa tetapi pada masa yang sama bercakap seolah-olah tidak menghadapi sebarang masalah dan ingat, orang ini bukanlah seorang pelakon. Seorang ayah memarahi anaknya dengan kemarahan yang beriya-iya tetapi dalam masa yang sama dia menghadiahkan anda senyuman dan mula bercakap lembut dengan anda. Itu tanda permulaan bagi seorang yang dapat mengawal emosinya... Seorang yang ingin menggapai kejayaan melalui imaginasi perlu lebih pandai mengawal emosi.

6) Minda teransang melalui solat dan doa

Solat itu doa dan doa itu perlu dalam proses kehidupan seseorang manusia. Manusia perlu berdoa untuk menjalinkan hubungan yag erat antara dirinya dengan alam ghaib dan yang terpenting dengan PENCIPTA-nya. Realitinya orang yang sentiasa berdoa dan sentiasa menunaikan solat tepat pada waktunya atau lebih baik pada awal waktu akan dapat membentuk dan meningkatkan kekuatan minda melalui fikiran yang lebih terfokus.

Seorang yang berjaya adalah seorang yang tenang dan ketenangan mutlak ataupun kemuncak bagi ketenangan adalah solat. Hakikat ketenangan tidak ada dalam diri seseorang yang ingkar solat atau tidak pernah berdoa.